KOTA KINABALU: Satu Kumpulan Wang Amanah Khas Negeri Sabah ditubuhkan bagi menguntukkan peruntukan untuk menampung kekurangan dana bagi program berhubungan dengan pencegahan dan pemulihan bencana, pembasmian kemiskinan dan penyediaan infrastruktur dan utiliti serta kemudahan perkhidmatan sosial.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan pindaan kepada Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan 1964 (No.9 tahun 1964) bagi menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Khas Negeri tersebut, dengan mematuhi kehendak seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).
Rang Undang-undang yang dinamakan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun yang berkata, terdapat beberapa program dan aktiviti yang tidak tersenarai di bawah peruntukan perbelanjaan perbekalan dan pembangunan, dan suatu program dan aktiviti perlu diwujudkan bagi menangani masalah luar jangka, contohnya jika berlaku bencana alam.

Masidi Manjun
Justeru itu, katanya Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan untuk disalurkan kepada Kementerian, Jabatan, Pejabat Daerah atau Agensi-Agensi Kerajaan Negeri yang akan melaksanakan antara lain program dan aktiviti seperti berikut;
i) Program pencegahan dan pemulihan bencana alam yang melibatkan di antaranya ialah bencana banjir, ribut taufan, kebakaran, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau, wabak penyakit dan epidemik;
ii) Program-program pembasmian kemiskinan;
iii) Program penyediaan kemudahan perkhidmatan sosial yang meliputi penyediaan kemudahan peralatan pembelajaran dan peralatan kesihatan;
iv) Perkhidmatan infrastruktur dan utiliti yang meliputi pembinaan, penyenggaran dan naiktaraf jambatan, jalanraya, cerun serta kemudahan sokongan yang lain termasuk penyediaan utiliti elektrik, air dan pembetungan; dan
v) Sebarang perbelanjaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Khas yang tidak termasuk dalam perkara–perkara yang disebutkan seperti bantuan kepada mangsa bencana contohnya mangsa banjir dan kebakaran.
Masidi berkata, sumber kewangan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini adalah pencaruman daripada Kumpulan Wang Amanah dalam wang perbelanjaan tahunan Kerajaan Negeri yang mana jumlah belum dapat ditentukan pada masa ini.
Selain itu, katanya, Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini boleh menerima sumbangan daripada Agensi-agensi Kerajaan; Badan-badan Korporat; Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO); serta daripada individu dan dermawan.
“Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini juga ditubuhkan sebagai persediaan awal untuk meletakkan peruntukan Persekutuan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk tidak menarik balik mana-mana peruntukan tahun kewangan semasa jika tidak habis digunakan,” jelasnya.
Masidi berkata, pentadbiran dan pengawalan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini akan ditadbir kawal oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah. Bagi maksud tersebut, seorang Pegawai Perakaunan akan dilantik oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab mengakaunkan penerimaan dana ke dalam Kumpulan Wang Amanah tersebut.
“Justeru itu, penubuhan Kumpulan Wang Amanah ini adalah penting bagi memastikan Kerajaan Negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan terutamanya bagi memastikan program pembangunan Negeri dapat dilaksanakan dengan lancar termasuk bagi menyantuni rakyat semasa dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera daripada Kerajaan Negeri,” katanya.





























