KOTA MARUDU: Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) baru-baru ini telah melaksanakan Program ‘Rural Outreach Education Enrichment’ di tiga lokaliti terpencil di sini, iaitu Kampung Sonsogon Magandai, Kg. Sonsogon Tikalod dan Kg. Sonsogon Paliu.
Ia disertai oleh Ellyanti P Nelson yang juga Presiden PUNS, Mandy Nandu (UNK 2005), Franciska Ester Nain (UNK 2019), Leonie Lawrence Gontuni (UNK 2008), Gillian Henry, Chellyana Tansu, Catsween Su, Kerinah Mah (UNK 2017), Jesica Stephen, Charlyn Mikat, Rattlyn Mikat, Maymall Frayneey Kipli, Banushay Balakrishnan, and Abigail Paul.

Ellyanti berkata, program tersebut bertujuan untuk mengetengahkan tiga aktiviti utama iaitu mewujudkan perpustakaan mini yang bersifat santai dan mesra penduduk yang juga adalah langkah pertama dalam usaha untuk menggalakan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal umur 3 tahun termasuk seluruh komuniti kampung yang terlibat; membuat manik sebagai aktiviti pemerkasaan budaya bagi menggalakkan seni dan kreativiti wanita Dusun Sonsogon; dan mendokumentasi budaya iaitu pakaian tradisi wanita Dusun Sonsogon.
PUNS dengan kerjasama beberapa pihak juga telah mewujudkan tiga pusat perpustakaan mini yang pertama di tiga lokaliti ini yang dilaksanakan bersifat santai dan mesra penduduk yang juga adalah langkah pertama persatuan dalam usaha memperkasakan pendidikan dan menggalakkan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal umur 3 tahun termasuk seluruh komuniti di kawasan yang terlibat yang mempunyai capaian yang terhad.

Selain itu, PUNS juga sempat mengadakan lawatan ke dua buah sekolah iaitu SK Samparita dan SK Magandai, Kota Marudu untuk beramah mesra dengan pelajar di sekolah tersebut selain menyampaikan dua unit komputer riba (laptop) kepada dua pelajar cemerlang dari SK Magandai serta alat tulis seperti krayon dan buku mewarna kepada murid murid di sekolah tersebut.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang usaha untuk menjayakan program ini.

Menurut PUNS, perpustakaan mini ini akan ditambah baik dari masa ke semasa sehingga ianya menjadi ruangan yang kondusif untuk semua tahap umur sekaligus menjadi ruangan yang diminati oleh kanak-kanak dan komuniti untuk meluaskan ufuk pengetahuan.
Penambahbaikan di masa hadapan juga akan melibatkan latihan kepada golongan belia sedia ada di kampung tersebut agar dapat memaksimakan peranan belia seperti mengajar huruf, nombor dan asas membaca dan mengira di kalangan kanak-kanak seawal umur 3 tahun sebelum meneruskan pendidikan mereka di sekolah rendah.

PUNS percaya bahawa usaha ini akan dapat diteruskan dan ditambah baik dari masa ke semasa dengan sokongan positif daripada semua ahli persatuan dan masyarakat KDMR di Sabah.
Program tersebut melibatkan seramai lebih kurang 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada ahli PUNS, PG 4×4 Kota Marudu diketuali oleh Johnny Mausai, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RTM.





























