Keadaan kereta mangsa yang terbabas dan terjunam ke dalam gaung. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang wanita cedera selepas kereta dinaikinya terbabas sendiri dan terjunam ke dalam gaung dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abd. Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian itu berlaku di Simpang Kiwoi Bawang, Tamparuli, pada jam 9.27 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Mahmud Jumah dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 17 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbabas sendiri masuk gaung.
“Terdapat seorang mangsa wanita berumur 42 tahun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Abd. Qawie, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan KKM dan dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 2.35 petang, katanya.































