Keadaan Perodua Viva yang dinaiki mangsa dalam kemalangan awal pagi tadi. – Ihsan Bomba
KENINGAU: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang diparkir di tepi jalan di sini awal pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Bakiau, pada jam 1 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian balai dan sepasukan 12 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Norhasrita Abdul Manan dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh dua kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Viva merempuh belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa dilaporkan tersepit tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya.
Sharudy berkata, dua orang mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans dan jentera EMRS Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Manakala seorang lagi mangsa, lelaki, Gerit Polong, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 1.40 pagi,” katanya.





























