Mangsa diusung menggunakan Robinson Stretcher ke Timpohon Gate di kaki Gunung Kinabalu. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita warga China cedera di pinggang selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 5 berhampiran Villosa, denai mendaki Gunung Kinabalu kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan menerusi talian balai dan dua anggota bomba bersama enam anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) diketuai Pegawai Operasi, PBK II KUP Kamidin Rasim bergegas ke lokasi kejadian.
Mereka turut disertai oleh dua Malim Gunung.
Apabila tiba di lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari pondok kawalan MOSAR, mereka mendapati seorang pendaki warganegara China berusia 42 tahun telah terjatuh dan cedera di pinggang ketika menuruni gunung.
“Anggota penyelamat bertindak mengangkat mangsa menggunakan Robinson Stretcher turun ke Timpohon Gate di mana mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ridwan berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 1.24 tengah hari.