Hajiji bersama satu daripada keluarga Sabahan yang hadir pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyeru pengundi Sabahan dalam pilihan raya enam negeri di Semenanjung yang akan datang untuk memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdiri di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyokong penuh Kerajaan Perpaduan,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi GRS.
“Adalah penting pengundi Sabahan, terutamanya mereka yang mengundi dalam enam pilihan raya negeri di Semenanjung, memilih calon Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan dinamik politik negara demi masa depan yang lebih baik,” katanya ketika bertemu pengundi Sabahan di Hotel Royal Chulan di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali and Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe.
Hajiji berkata, GRS mengisytiharkan sokongan penuhnya kepada Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah platform terbaik untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia untuk maju ke hadapan.
Hajiji juga menyeru orang ramai supaya menolak kata-kata perkauman dan ketaksuban agama yang digunakan oleh pembangkang sebagai bahan kempen mereka untuk mencari undi pada pilihan raya negeri.
“Taktik sebegini merugikan negara majmuk seperti kita, yang tidak akan menjamin masa depan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan yang merupakan antara faktor penting untuk negara maju, hanya boleh dicapai apabila rakyat bersatu padu dan tidak dibutakan oleh fahaman perkauman dan ketaksuban.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, hak istimewa orang Melayu dilindungi di bawah Perlembagaan tetapi ini tidak bermakna kepentingan kaum lain di negara ini diabaikan.

Hajiji berbual dengan Sabahan yang tinggal di Negeri Sembilan.
“Hak orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama rasmi dan keistimewaan Raja-Raja Melayu dilindungi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mesti dihormati. Namun, kita tidak boleh menafikan hak kaum lain di Malaysia.
“Kita di Sabah telah menjadi contoh perpaduan yang baik dalam kepelbagaian dan perpaduan kerana, walaupun terdapat perbezaan bangsa dan agama, kita telah wujud bersama dalam keharmonian sejak sekian lama tanpa mengira ideologi politik, yang juga digalakkan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan.
“Justeru, saya menyeru rakyat menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri ini,” katanya.
Antara rombongan GRS pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Naib Pengerusi Datuk Masiung Banah dan Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai.
Turut hadir ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, ADUN Tempasuk, Arshad Bistari, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Senator Datuk Bobbey Suan.
Hajiji juga meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat Sabah yang tinggal di Negeri Sembilan.





























