Keadaan kereta mangsa yang terbabas sendiri dalam kejadian itu. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sendiri di sini awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, mangsa, Ahmad Syagul Nasip, 35, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di Jalan Dakata, Pan Borneo Penampang pada jam 4.40 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Benny Lim dikejarkan ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian sejauh lima kilometer dari BBP itu, mereka mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza terbabas sendiri di tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa terlibat, Ahmad Syagul Nasip, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan KKM. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Zeno berkata, setelah pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 5.20 pagi.





























