Norlidah diiringi Juliah menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada wakil pertubuhan kebajikan daerah Beluran pada Majlis Lawatan Amal ke Institusi Kebajikan sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Beluran, Beluran, hari ini.
BELURAN: Enam buah pertubuhan kebajikan di Beluran masing-masing menerima sumbangan RM5,000 daripada Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni sempena Majlis Lawatan Amal ke Institusi Kebajikan sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Beluran.
Pertubuhan itu ialah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Pertubuhan Warga Emas Labuk & Sugut (PAWE), Pasukan Kebajikan Kanak-kanak (PKKK), Pasukan Pelindung Kanak-kanak (PPKK), Pertubuhan Sukarelawan & Kebajikan (SJKM) dan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak (PMKK).
Norlidah diiringi oleh isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datin Seri Dr. Nuinda Haji Alias yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah.
Norlidah dan Juliah turut menyampaikan saguhati dan sumbangan kepada seramai 70 orang kanak-kanak di majlis itu.
Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jamri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J. Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Sr. Lee Chun Khiong, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri dan Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius.

Norlidah bersama Juliah menyantuni kanak-kanak istimewa di Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran pada Majlis Lawatan Amal ke Institusi Kebajikan sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Peringkat Negeri Sabah hari ini.
Terdahulu, Norlidah dan Juliah mengadakan ziarah amal ke rumah-rumah orang kelainan upaya (OKU) di Taman Sungai Labuk dan menyantuni kanak-kanak istimewa di Kelas Program Pendidikan Khas Integerasi, Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran.
Menyertai rombongan Juliah ialah Naib Yang di-Pertua I MUTIARA GRS, Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan, Naib Yang di-Pertua II, Datin Linda Ewin, Naib Yang di-Pertua III/ Setiausaha Kehormat MUTIARA GRS, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag. Mohd. Saufi dan Pengerusi Biro Rumah MUTIARA GRS, Datin Hajah Noriah Haji Pg. Ahmad.
Sementara itu, Juliah yang juga Yang di-Pertua MUTIARA GRS turut menghadiri Malam Mesra “Kelibatnya Anggun Kelihatan” di Amadeus Sabah Hotel malam tadi.
Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada MUTIARA GRS sebanyak RM1,000 masing-masing kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan dan Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan.
Manakala Tabung Kasih PUSPANITA Negeri Sabah turut memberi sumbangan RM500 kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan dan Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan.





























