KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi membangunkan industri padi dan beras di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah itu dijangka dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
“Pada ketika ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara-negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.

Hajiji Haji Noor
“Kita berharap dengan pengwujudan semula Lembaga Padi Sabah dijangka akan dapat meningkatkan paras tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Sabah 2023 di Wisma Pertanian di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr .Jeffrey Kitingan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, peladang, penternak dan nelayan adalah golongan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan seterusnya negara.
Justeru katanya, peladang, penternak dan nelayan harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.
“Peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih dalam merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.
“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea-idea dan maklumat-maklumat yang baru dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa. Kita mesti menjadi seorang peladang, penternak dan nelayan yang serba mengetahui,” katanya.





























