KOTA KINABALU: Muzium Negeri Sabah tidak lagi dapat melaksanakan tujuannya untuk melindungi artifak- artifak bersejarah di negeri ini berikutan keadaan bangunan yang usang dan renyah yang membahayakan keselamatan kakitangan dan pengunjung, kata Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah Bahagian Api-Api, Yee Tsai Yiew.
Beliau menyeru untuk penutupan sementara muzium untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan, terutamanya pada struktur bumbung yang bermasalah.
Beliau berkata masalah keselamatan bangunan ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya memasang jaring keselamatan.
“Memasang jaring keselamatan tidak menghapuskan risiko struktur bumbung roboh, masalah ini adalah masalah yang serius.
“Jika keselamatan orang awam dan kakitangan jabatan tidak dapat dijamin, kami menyeru pihak berkaitan untuk menutup sementara muzium ini sehingga kerja-kerja pembaikan selesai. Toleransi sifar harus diberikan terhadap keselamatan bangunan, terutamanya yang boleh diakses oleh orang awam,” katanya.
Yiew, yang melawat tapak selepas menerima pelbagai aduan awam, mendapati bahawa aduan tersebut adalah benar.
Beliau berkata siling luar dan dalaman dipasang dengan jaring keselamatan besar, untuk mencegah serpihan siling jatuh ke lantai.
Semasa lawatannya, Yiew berkata pengunjung yang hadir meluahkan rintihan mereka kepada beliau, dengan mempersoalkan sama ada pihak berkuasa hanya akan mengambil tindakan setelah suatu kejadian tragik berlaku.
“Malahan pelancong asing juga menggelengkan kepala tidak percaya dengan keadaan muzium negeri kita dan pelbagai bahan pameran yang rosak,” katanya.
Yiew menyeru pihak berkuasa yang berkaitan, seperti Jabatan Kerja Raya Negeri dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, untuk memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam dan segera menjalankan penilaian keselamatan terhadap keutuhan struktur bangunan, terutamanya struktur bumbung.
Pihak berkaitan ini harus bekerjasama dengan institusi profesional untuk menjalankan penilaian keselamatan menyeluruh dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan muzium memenuhi piawaian keselamatan awam yang diperlukan.
“Keadaan infrastruktur Muzium Negeri Sabah yang teruk telah mendapat kecaman luas. Selain impak negatif ke atas pelancongan, keprihatinan utama adalah ancaman kepada keselamatan orang awam, terutamanya kanak-kanak.”
“Muzium Negeri Sabah adalah tempat untuk orang awam mempelajari tentang sejarah dan budaya Sabah. Oleh itu, keselamatan dan keselesaan orang awam harus diutamakan. Tindakan pemulihan muzium tidak hanya akan meningkatkan imej Sabah tetapi juga memberi impak positif kepada pembangunan pelancongan.”
Selanjutnya, beliau juga menyeru agar Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, yang baru-baru ini merasmikan program “Kraf Kami, Budaya Kami” di muzium negeri, harus mengambil tindakan susulan terhadap arahannya meminta kerja pembaikan muzium disegerakan, yang nampaknya tidak diendahkan oleh pihak berkaitan.
Yiew menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk campur tangan dalam operasi mana- mana jabatan tetapi hanya berharap bahawa jabatan-jabatan yang berkaitan, harus megutamakan keselamatan awam dan imej muzium negeri, dan mengambil tindakan segera membuat kerja baikpulih bangunan muzium.































