Pasukan bomba ketika berusaha memadamkan kebakaran pada bas Jabatan Penjara itu. – Ihsan Bomba
BEAUFORT: Sebuah bas Jabatan Penjara membawa 16 orang termasuk pemandu terbakar ketika melalui Jalan Bypass Limbawang, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.
Mujur kesemua penumpang sempat menyelamatkan diri sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, PPgB Mohammad Hasbullah Nenggok memberitahu, panggilan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian balai pada jam 2.29 petang dan sepasukan 10 anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II Irwan Abdul bergegas ke lokasi.

“Setiba ditempat kejadian yang terletak lapan kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah bas milik Jabatan Penjara terbakar di bahagian tayar.
“Terdapat 16 orang penumpang termasuk pemandu yang merupakan kakitangan penjara dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Mohammad berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos salur bantu mula.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.47 petang dan operasi tamat pada jam 2.58 petang,” katanya.































