Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
BELURAN: Tiga orang lelaki maut apabila lori yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter dekat sini kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Micheal berkata, kejadian itu berlaku di Bukit Ular, Jalan Paitan pada jam 10.18 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lima anggota diketuai oleh beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 165 kilometer dari BBP itu, kita mendapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah lori muatan 12 tan hilang kawalan, terbabas merempuh bahu jalan lalu jatuh ke gaung sedalam 30 meter.
“Terdapat tiga orang mangsa lelaki terlibat, tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Tiada maklumat mangsa diperolehi,” katanya.
Menurut Edoen, ketiga-tiga mangsa tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 6.40 petang,” katanya.































