LABUAN: Golongan wanita di wilayah itu diseru untuk mengambil peluang kemudahan ujian mammogram dan saringan kanser serviks yang dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Menurut Ketua Jururawat Klinik Nur Sejahtera LPPKN Kota Kinabalu, Rohana Jahidi LPPKN dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare).
“Saya menyeru wanita di Labuan untuk menjalani saringan kanser reproduktif dengan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi mengesan kanser pada peringkat awal, tambahan jika Perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN datang ke Labuan dan tidak perlu membuat pemeriksaan di Kota Kinabalu,”jelasnya semasa ditemui semasa pelaksanaan kempen itu di Bangunan UTC Labuan semalam.
Sementara itu, seorang pelanggan Klinik LPPKN Lim Lee Sieng, 44 berpandangan kemudahan yang disediakan LPPKN boleh menyumbang kepada kesihatan kaum wanita.
“ Saya menggunakanan perkhidmatan Klinik LPPKN setiap bulan seperti saringan gula dalam darah dan paras kolestrol dalam badan, ubat-ubatan juga dijual lebih murah berbanding di luar dan inisiatif ini perlu diperluaskan lagi sebab ramai golongan wanita yang belum menyedari dengan kemudahan ini,”jelasnya.
Bagi Arianayanti@santi Ariffin, 40 turut berpandangan kaum wanita perlu mengambil peluang dengan fasiliti serta kemudahan yang disediakan kerajaan melalui LPPKN.
“Kaum wanita terdedah dengan pelbagai penyakit oleh itu mereka perlu ambil peluang dengan bantuan yang disediakan kerajaan ini kerana kosnya lebih tinggi jika kita buat di klinik swasta,”katanya yang juga kerap mendapatkan ubat-ubatan dan menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik LPPKN.





























