Simsudin (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Majlis Penasihat PL kepada Datuk Bashir Alias
LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) perlu meningkatkan sumber ekonomi dan meraih peluang pekerjaan untuk dinikmati oleh anak-anak dan penduduk di Labuan.
Menurut Pengerusi PL, Senator Tan Sri Anifah Aman, hasil pendapatan PL hanya dapat menampung 60 peratus perbelanjaan tahunan dan masih memerlukan suntikan dana peruntukan sebanyak 40 peratus daripada Kerajaan Pusat.
“Oleh yang demikian, untuk memperolehi hasil yang dapat menampung 100 peratus perbelanjaan, Perbadanan Labuan harus menggandakan usaha dua kali ganda bagi mencapai keupayaan ‘self-funding’.
“Justeru, saya menyeru barisan kepimpinan Anggota Perbadanan Labuan dan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan serta warga pengurusan Perbadanan Labuan untuk menetapkan hala tuju bagi mencapai hasrat murni ini,”katanya semasa Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Perbadanan Labuan dan Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan serta Majlis Apresiasi Mantan Anggota Perbadanan Labuan Dan Mantan Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, di sini semalam.
Jelasnya lagi, dalam tempoh satu dekad ini, PL perlu menggariskan perancangan dan rancak melaksanakan apa yang telah dirancangkan.
“Rancangan Struktur WP Labuan 2040 dan Rancangan Tempatan Labuan 2040 yang ketika ini di peringkat draf akhir adalah di antara usaha Rancangan Pemajuan Wilayah Persekutuan Labuan yang memastikan hala tuju pembangunan Labuan lebih mapan dan berdaya saing.
“Pada masa yang sama, kita berharap bahawa Pelan Strategik (Pengurusan) Perbadanan Labuan dan Pelan Strategik Pendigitalan Perbadanan Labuan yang direncanakan dan ditambahbaik setiap 5 tahun adalah menjadi tindakan sokongan untuk menggerakkan kelancaran rancangan pemajuan Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya lagi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PL, Simsudin Sidek.































