Calon-calon STPM 2022 menunjukkan sijil penghargaan atas pencapaian cemerlang mendapat keputusan PNGK 4.0.
KOTA KINABALU: Sebanyak 98.86 peratus calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sabah 2022 lulus penuh.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Raisin Saidin berkata, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah keseluruhan calon yang lulus penuh adalah seramai 6,921 orang bersamaan 98.86 peratus daripada 7,001 pelajar yang menduduki, meningkat 0.26 peratus berbanding tahun 2021 yang mencatatkan 98.60 peratus bersamaan 7,109 calon.
“Dari segi pencapaian individu, seramai 75 orang calon pada tahun 2022 berjaya memperoleh PNGK 4.0 berbanding seramai 60 orang pada tahun 2021, peningkatan 15 orang calon.”Calon yang memperoleh kelulusan penuh lima mata pelajaran (5P) adalah sebanyak 324 calon bersamaan 4.63 peratus secara keseluruhan menurun 1.26 peratus berbanding tahun 2021 yang mencatatkan 5.89, namun peratus calon yang lulus penuh empat mata pelajaran (4P) meningkat sebanyak 2.49 peratus iaitu daripada 66.10 peratus pada tahun 2021 kepada 69.59 peratus bersamaan 4.082 calon pada 2022,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan Dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) JPNS, Mohd Zaini Yanin dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2022 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, pada Khamis.
Sementara itu, pelajar cemerlang yang mendapat PNGK 4.0, Doline Velintino Ramlie dari SMK Elopura Sandakan menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang cemerlang berbanding sasaran awal iaitu PNGK 3.5.
“Petua yang saya amalkan ialah sentiasa menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru selain rajin mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan, saya berharap dapat menjadi guru Pendidikan Moral satu hari nanti.
Turut bercita-cita menjadi seorang pendidik, pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Tawau (B), Tawau, Tan Zhi Yin juga meraih keputusan cemerlang PNGK 4.0 dengan selalu melakukan persiapan awal, sentiasa mengulang kaji pelajaran bersama rakan dan tidak segan meminta tunjuk ajar dari guru-guru.
“Selain itu, dorongan ibu bapa yang sentiasa memberi motivasi untuk berjaya juga menjadi faktor membolehkan saya mendapat keputusan cemerlang dan berharap cita-cita saya menjadi seorang guru Bahasa Inggeris akan tercapai,” katanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut, wakili Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan JPNS, Abdul Gaur Wahed.





























