Mohd Asafihin Mohd Asri mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah menerima sijil daripada Armizan (tengah) sambil disaksikan Meor Ismail (kiri) dan Khairul Shahril (kanan).
KOTA KINABALU: Kemaskini Peraturan Tetap Operasi (PTO) Gempa Bumi penting sebagai persediaan negara menghadapi perubahan cuaca ekstrim dan luar jangka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemaskini tersebut bertujuan memastikan pengurusan bencana gempa bumi negara terutama di Sabah dapat ditadbir urus dengan lebih efisien.
“Pengemaskinian ini perlu seiring dengan peredaran masa serta teknologi terkini yang diguna pakai oleh pelbagai agensi yang terlibat dalam memastikan kesiapsiagaan berhadapan dengan bencana.
“Kali pertama PTO Gempa Bumi dikeluarkan adalah pada 2011 dan sudah tiba masanya disemak semula bagi memastikan keberkesanan dalam menghadapi bencana negara.
“Sebagai peneraju pengurusan bencana negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertanggungjawab mengadakan bengkel mengemaskini PTO Gempa Bumi bagi mendapatkan input dan khidmat nasihat dari pelbagai agensi yang terlibat.
“Melalui bengkel ini, dokumen pindaan berkaitan PTO Gempa Bumi akan dihasilkan bagi membolehkan pihak NADMA membuat tindakan bagi memantapkan kaedah pengurusan bencana negara,” katanya pada Majlis Penutupan Bengkel Semakan Peraturan Tetap Operasi (PTO) Pengendalian Bencana Gempa Bumi, pada Khamis.
Bengkel yang disertai 81 peserta daripada 46 agensi persekutuan dan negeri tersebut diadakan bagi menyemak keseluruhan dokumen PTO Gempa Bumi serta meminda perkara-perkara yang dirasakan perlu sebagai penambahbaikan selaras teknologi terkini.
“Berteraskan bukti empirikal, kebarangkalian berlaku gempa bumi di Malaysia adalah tidak mustahil dengan penilaian mendapati Sabah berada dalam kawasan aktif pergerakan gempa bumi yang mana daerah paling berisiko adalah Ranau manakala kawasan lain berada dalam risiko sederhana termasuk Kota Belud, Tuaran serta Kota Marudu,” katanya.
“Oleh itu, kita mesti bersedia dalam mendepani bencana daripada aspek pengurusan semasa dan selepas agar pemberian bantuan kepada mangsa dapat diperkasa selain proaktif dalam urusan menilai risiko bencana,” katanya.
Teknologi dan aplikasi terkini yang digunakan sekiranya berlaku bencana antaranya adalah aplikasi penginderaan jarak jauh (remote sensing), Light Detection and Ranging (LiDAR) serta teknologi pemetaan digital yang digunakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Turut hadir, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim.





























