Dr. Jeffrey bersama pemimpin kanan melancarkan Konvensyen dan Ulang Tahun Ke-7 STAR di ITCC, Penampang, kelmarin.
PENAMPANG: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersedia meletak lebih ramai calon wanita, belia dan remaja untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah ke-17 dua tahun akan datang.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bagaimanapun menegaskan parti itu hanya akan meletak calon kategori tersebut yang benar-benar bersedia.
“Parti kita (STAR) terbuka untuk memenuhi permintaan golongan berkenaan,” katanya menambah mereka harus mempersiapkan kemampuan agar lebih ramai calon yang dapat ditampilkan parti.
Dr. Jeffrey berkata demikian sebagai respon suara akar umbi Wiramuda, Wiranita dan Wiramaja di Konvensyen Nasional STAR dan Sambutan Ulang Tahun Ke-7 bertema ‘Star Sabah 2030 & Beyond’ di ITCC, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, parti itu perlu mempersiapkan calon-calon pelapis bagi meremajakan parti kerana pemimpin lama akan bersara dan pemimpin baharu perlu ditampilkan.
Tegas Dr. Jeffrey lagi, untuk memperkasakan parti, para pemimpin parti itu seharusnya tidak mengharapkan parti lain atau pemimpin parti sekutu melakukannya untuk STAR.
“Kita kena buat sendiri,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan.
Dr. Jeffrey seterusnya mengimbas pencapaian parti itu yang bermula dari kosong, satu kerusi, kemudian menjadi dua, enam dan kalau diberi peluang akan menjadi 12 atau lebih.
Konvesnyen sehari itu telah menampilkan tujuh pembentangan ucaptama yang melibatkan Ketua Wiramuda, Kong Soon Choi, Ketua Wiranita, Datuk Flovia Ng, dua Naib Presiden,
Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Annuar Ayub Aman serta tiga Timbalan Presiden Datuk Kapitan Stephen Teo, Datuk Robert Tawik dan Datuk Ellron Alfred Angin.































