Ruddy (Tengah) bersama Pegawai Daerah Pitas,Tuan Nahalan mengabadikan gambar kenangan bersama agensi yang terlibat.
PITAS: Program Jabatan Bersama Rakyat mampu selesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Pembantu Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan ADUN N.3 Pitas, Datuk Sri Dr. Ruddy Awah berkata, keperluan rakyat merupakan keutamaan yang harus diselesaikan demi kesejahteraan mereka.
“Program sebegini yang kita adakan setiap tahun bertujuan mendengar keluhan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
“Sebagai wakil rakyat, setiap permasalahan yang mereka hadapi, kita cuba selesaikan secepat yang mungkin bagi memberi kelegaan seterusnya meringankan beban yang mereka tanggung.
“Bagi tujuan itu, sebanyak 23 jabatan dan agensi di bawah pengurusan pegawai daerah hadir bersama kita dalam misi menyelesaikan masalah rakyat, kebanyakan jabatan yang dekat dengan rakyat seperti yang berkaitan dengan perladangan, pertanian, perikanan dan nelayan termasuklah Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB),” katanya ketika merasmikan Program Jabatan Bersama Rakyat di Dataran Bengkoka, di sini, kelmarin.

Ruddy turut mencadangkan agar program sedemikian akan dipanjangkan sehingga ke peringkat mukim bagi memudahkan bertemu dan mendengar keluhan rakyat yang berada jauh di pedalaman.
“Selepas ini, kita akan perluaskan program seperti ini sehingga ke peringkat mukim ekoran terdapat satu-satu mukim yang mempunyai 20 buah kampung, ini memudahkan rakyat dari kampung-kampung yang terletak jauh dari pekan, datang ke mukim bagi mengutarakan permasalahan mereka, “ujarnya.
Beliau turut memuji dan mengalu-alukan Program Ujibakat Bintang Cilik anjuran Jabatan Penyiaran Sabah (RTM) yang turut diselitkan dalam program tersebut yang mencungkil bakat-bakat muda dari Daerah Pitas.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pitas, Nahalan Mehdunah dan Penolongnya, Lee Chuan Kiat serta Ketua Daerah Pitas OKK Halim Kadir.































