Pauzi bersama AJK persatuan.
SIPITANG: Persatuan Kebudayaan Kesenian Murut Tahol Sipitang telah mengadakan mesyuarat kali ke-2 untuk mengemaskini Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan yang telah dibentuk bersama-sama beberapa lantikan khas yang terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman dalam hal ehwal adat istiadat Murut Tahol Sipitang.
Mesyuarat tersebut juga menyaksikan pelantikan secara langsung Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil KAN (WKAN) dan Ketua Kampung yang berbangsa Murut Tahol di daerah Sipitang sebagai penasihat kepada persatuan berdasarkan keputusan mesyuarat pada kali pertama penubuhan Persatuan Kebudayaan Kesenian Murut Tahol Sipitang.
Presiden persatuan, Pauzi Antahar sangat mengalu-alukan kehadiran dan juga berterima kasih atas sokongan yang diterima daripada barisan kepimpinan suku Murut Tahol daerah Sipitang kerana menyambut baik lantikan menjadi penasihat seterusnya kerjasama yang diberikan sepenuhnya dalam memartabatkan kesenian, adat dan budaya Murut Tahol Daerah Sipitang.
Beliau berkata, penubuhan persatuan ini telah mendapat kelulusan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 27 Mac 2023 dengan matlamat utama persatuan adalah untuk mengekalkan dan memartabatkan kebudayaan dan kesenian etnik Murut Tahol Sipitang agar tidak pupus ditelan zaman.
“Selain itu, dari aspek corak anyaman, pakaian tradisi, adat dan budaya pula dapat diwarisi oleh genarasi akan datang. Antara perancangan program tahunan yang akan dilaksanakan oleh persatuan ini adalah bengkel adat dan istiadat suku kaum Murut Tahol yang melibatkan ketua-ketua adat setiap kampung, kursus corak dan anyaman Murut Tahol, pertandingan tarian etnik Murut Tahol, pertandingan paluan gong dan juga pertandingan peragaan keaslian pakaian tradisi suku kaum Murut Tahol untuk lelaki dan perempuan.
“Untuk program Ilau pasisimpungan Murut Borneo yang akan diadakan pada 22 Julai 2024, Persatuan Kebudayaan Kesenian Murut Tahol telah dijemput sebagai AJK Pelaksana dalam menjayakan program ini,” katanya.
Ilau ini bakal diadakan di Daerah Nabawan dan julung kali diadakan di Malaysia dan dimeriahkan lagi dengan kedatangan tetamu khas dari Kalimantan, Indonesia iaitu seramai 300 orang dan melibatkan juga semua sub-etnik Murut di Malaysia, khususnya di Sabah.































