Pasukan bomba ketika mengeluarkan mangsa daripada kereta yang terlibat dalam kemalangan di Lahad Datu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Dua orang cedera dalam kemalangan berasingan di sini dan Penampang hari ini.
Kemalangan di sini melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang merempuh sebuah lori minyak 10 tan di Jalan Baru POIC Segama awal pagi tadi, menyebabkan seorang individu cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPgB Sumsoa Rashid berkata, kejadian itu berlaku pada jam 3.08 pagi.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Suait dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh empat kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang mangsa terlibat dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba daripada kereta tersebut.
“Pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya menyerahkan mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya. Maklumat mengenai mangsa tidak diperoleh.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.23 pagi, tambahnya.

Keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Putatan, Penampang. – Ihsan Bomba
Sementara itu, di PENAMPANG, seorang lelaki cedera selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Tulangis, Putatan, di sini, pada pada jam 12.42 tengah malam.
Ketua Balai BBP Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan berkata, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Mohd. Khairul Abd. Kohir dihantar ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian sejauh empat kilometer dari BBP itu, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun mengalami kecederaan.
Katanya, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 12.58 pagi,” katanya.































