Jahid dan tetamu jemputan lain turut bersama masyarakat kampung menyanyikan lagu Kaamatan.
TAMPARULI: Masyarakat diseru memelihara dan mempertahankan adat dan budaya tradisi warisan turun temurun.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, kelestarian adat dan budaya Kadazan Dusun perlu dijaga dan dipertahankan kerana warisan inilah yang mencerminkan sesuatu kaum tersebut.
“Pesta Kaamatan merupakan landasan terbaik kepada masyarakat kita untuk menonjolkan kekayaan seni dan kebudayaan masyarakat Kadazan Dusun kerana itulah aset yang amat berharga dan tiada nilai gantinya kelak,” katanya ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Kampung Tenghilan, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap III Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Peter Jonu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan Presiden Komuniti Mitatabang Sabah, Dr. Bonaventure Boniface.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli berkata, selain wadah menyatupadukan penduduk, Pesta Kaamatan juga dapat melestarikan budaya warisan bangsa yang kian terhakis kesan revolusi digital masa kini.
Katanya, semangat kekitaan yang dipupuk bukan sahaja setiap kali diadakan perayaan, tetapi diamalkan setiap masa, akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita, dan melalui budaya tradisional seperti inilah kita mengetahui asal usul kita,” tambahnya.
Pada majlis yang sama, Jahid turut meluluskan Kertas Kerja Projek Penyelidikan Buku Tenghilan: Sejarah Dan Transformasi, yang akan bermula pada Ogos 2023 dan dijangka siap pada bulan Mei 2024.
Projek tersebut diketuai Dr. Bonaventure.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Percy Johnny menghargai sumbangan Jahid, pemimpin masyarakat, para penduduk kampung dan individu yang telah menyumbangkan hadiah bagi menjayakan acara berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah cabutan nama bertuah, acara pentas, masakan dan minuman tradisi dan banyak lagi.































