KOTA KINABALU: Seorang wanita ditangkap di sini kelmarin atas dakwaan melakukan khianat terhadap bekas kekasihnya iaitu seorang pemain bola sepak pasukan Sabah FC.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Zaidi Abdullah yang mengesahkan ini berkata, tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan kes melakukan khianat ke atas rumah pemain bola sepak pasukan Sabah FC di sini pada 17 Jun 2023, jam 2.58 pagi.
“Pengadu, iaitu seorang pemain bola sepak pasukan Sabah FC telah membuat laporan polis mengatakan pintu rumahnya telah dirosakkan oleh bekas teman wanitanya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Saspek ditangkap lebih kurang jam 8 malam untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes ini.
“Pihak polis turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih berhubung kes ini yang telah dimuat naik dan tular di platform media sosial,” tambahnya.






























