Hajiji (dua kiri) bersama Wan Ahmad Dahlan (kiri) dan ahli MTPng sebelum mesyuarat bermula.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor hari ini mengeluarkan arahan tegas kepada semua ketua jabatan dan pegawai daerah supaya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di negeri ini.
“Dengan baki enam bulan lagi, saya mahu semua ketua jabatan dan pegawai daerah mengambil perhatian terhadap isu yang menghalang pelaksanaan. Lakukan yang terbaik untuk melaksanakan dan menyiapkannya pada tahun ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ketua Menteri mahu laporan kemajuan terperinci pada mesyuarat MTPNg seterusnya September ini.
Sabah telah diperuntukkan RM6.05 bilion dalam Belanjawan Negara tahun ini, ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Bagaimanapun, di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12, hanya 21.61 peratus daripada 1,181 projek untuk Sabah telah dilaksanakan.
Dengan masa yang semakin suntuk, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah mencadangkan penubuhan tabung amanah di mana peruntukan yang tidak digunakan untuk tahun itu boleh disimpan dan digunakan untuk tahun akan datang.
Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menghadiri mesyuarat itu.
Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Menteri – Datuk Seri Dr .Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Pegawai Pembangunan Sabah, Samsul Dollah.

Hajiji (tengah) menerima cenderahati daripada Wan Ahmad Dahlan selepas mesyuarat MTPng.
Mesyuarat itu diberitahu data MyProjek menunjukkan setakat 12 Jun 2023, kira-kira 141 projek di bawah RM50 juta bernilai RM1.6 bilion akan diwakilkan kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Dalam hal ini, saya menggesa semua ahli jawatankuasa MTPNng mengambil iktibar perkara ini dan melakukan perkara yang perlu,” kata Hajiji, sambil mengingatkan semua bahawa Perdana Menteri dalam ucapannya kepada perkhidmatan awam negeri dan persekutuan Februari lalu telah memberikan tempoh enam bulan untuk melihat keberkesanan langkah itu.
“Sepatutnya tiada lagi alasan untuk menunggu kelulusan daripada Persekutuan sebagai punca projek tertangguh. Rakyat dan Kerajaan akan rugi jika berlaku kelewatan dalam melaksanakan projek yang diluluskan,” kata Ketua Menteri.
Hajiji juga menggesa semua ketua jabatan dan pegawai daerah untuk merealisasikan agenda sifar miskin tegar menjelang akhir tahun ini seperti yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya mahu semua pegawai daerah turun padang dan mengesahkan butiran mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar di kawasan masing-masing. Kita mahu status sebenar mereka direkodkan,” katanya.
Ketua Menteri juga menggesa jabatan berkaitan yang dibebani dengan “projek sakit” untuk menamatkan kontraktor tidak berprestasi yang telah menghalang penyiapan projek.
Antara projek yang sakit ialah projek-projek di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.































