Arthur memotong riben sebagai tanda gimik perasmian.
NABAWAN: Penduduk Kampung Murni A di Nabawan kini menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih lengkap dan selesa menerusi pelaksanaan empat projek pembangunan selepas kampung berkenaan dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar, khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.
Menurutnya, empat projek utama yang dilaksanakan merangkumi pembinaan baharu dewan serbaguna kampung, gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan sistem pencahayaan, bangunan kemudahan awam yang menempatkan bilik air dan bilik persalinan serta pemasangan lampu solar di kawasan kampung.
“Melalui pembangunan baharu ini, Kampung Murni A kini mempunyai kemudahan dewan serbaguna dan gelanggang futsal yang boleh digunakan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti serta pertandingan.
“Kedudukannya yang strategik di tengah Pekan Nabawan juga menjadikan kawasan ini sesuai sebagai lokasi penganjuran program dan aktiviti masyarakat,” katanya.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata pembinaan gelanggang futsal berbumbung lengkap dengan kemudahan lampu memberi peluang kepada penduduk, khususnya golongan belia, untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah dalam persekitaran yang lebih selesa.
Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan pada waktu siang, malah
membolehkan pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan dianjurkan pada waktu malam tanpa terlalu bergantung kepada keadaan cuaca.
Beliau berkata pembinaan dewan serbaguna pula menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk penganjuran mesyuarat, program kemasyarakatan, majlis rasmi serta pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Arthur berkata pemasangan lampu solar di sepanjang jalan dan persimpangan kampung menerusi kerjasama pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GIATMARA turut menjadi antara komponen penting dalam pembangunan Kampung Angkat MADANI berkenaan.
Menurutnya, penggunaan teknologi pencahayaan solar bukan sahaja membantu meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk, malah menyokong usaha memperluaskan penggunaan tenaga yang lebih mesra alam.
Beliau berkata penglibatan pelajar GIATMARA dalam pelaksanaan inisiatif itu turut memperlihatkan bagaimana kemahiran teknikal yang dipelajari dapat dimanfaatkan secara langsung untuk membantu pembangunan komuniti luar bandar.
Arthur menegaskan pembangunan infrastruktur asas perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan daripada menikmati kemudahan yang lebih baik.
Katanya, usaha membawa pembangunan ke kawasan Parlimen Pensiangan akan terus menjadi antara keutamaannya, khususnya melalui kerjasama kementerian, agensi kerajaan serta pelbagai pihak yang berkaitan.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa mencari inisiatif baharu untuk membawa pembangunan dan bantuan kepada rakyat.
“Satu lagi pembangunan baharu untuk rakyat. Mari bersama kita hebatkan Pensiangan!” katanya.
Pelaksanaan empat projek pembangunan di Kampung Murni A itu turut membuka ruang kepada penduduk untuk memanfaatkan kemudahan awam secara lebih menyeluruh, sekali gus menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sosial, sukan dan pembangunan komuniti.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI berkenaan juga mencerminkan kepentingan pendekatan pembangunan yang memberi tumpuan kepada keperluan sebenar penduduk, khususnya dalam menyediakan kemudahan asas yang mampu meningkatkan keselesaan, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.






























