TENOM: Orang ramai dijemput menghadiri Majlis Perasmian Ilau Kalimaran Kali Ke-20 Tahun 2026 yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober ini, jam 9 pagi, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini.
Sambutan tahun ini membawa tema “Migogondo Jumalai Sumingkot, Bersatu Maju Membangun”, yang mencerminkan semangat perpaduan dan kemajuan masyarakat melalui pemeliharaan warisan budaya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Rubin Balang menyaksikan Pertandingan Butitin Kalimaran dan Tarian Kreatif Etnik Murut sempena sambutan berkenaan di dewan yang sama, semalam.
Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong turut melawat pondok-pondok tradisi Murut bagi meninjau persiapan peserta yang menyertai Pertandingan Pondok Tradisi Etnik Murut.
Kehadiran beliau menyerikan acara kebudayaan itu yang menjadi platform mengetengahkan bakat seni, kreativiti dan keunikan warisan tradisi masyarakat Murut.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau melihat sendiri usaha peserta mengetengahkan keunikan seni bina, hasil kraftangan dan identiti kebudayaan masyarakat Murut melalui pembinaan serta hiasan pondok tradisi masing-masing.
Penganjuran Ilau Kalimaran bukan sahaja menjadi medan memperkenalkan kekayaan budaya masyarakat Murut, malah berperanan mengukuhkan perpaduan, memupuk semangat kebersamaan dan memastikan warisan tradisi terus dipelihara untuk generasi akan datang.






























