KOTA KINABALU (Bernama): Kerajaan Persekutuan hari ini menjelaskan bahawa rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung geran khas 40 peratus Sabah bukan bertujuan menafikan hak perlembagaan negeri itu, sebaliknya untuk memperbetulkan dapatan mahkamah yang disifatkan melangkaui bidang kuasa kehakiman.
Ketika mengemukakan hujahan di hadapan Mahkamah Rayuan di sini hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi berkata Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak Sabah terhadap formula 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan mahupun hak negeri itu untuk mendapatkan semakan di bawah Perkara 112D.
Beliau berkata rayuan itu hanya tertumpu kepada dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Kerajaan Persekutuan telah melanggar obligasi perlembagaannya antara 1974 hingga 2021, selain keputusan mahkamah membatalkan Perintah Semakan 2022.
“Kami tidak mempertikaikan formula itu. Namun, dalam sesuatu semakan, selain formula 40 peratus, terdapat pertimbangan lain yang perlu diambil kira, termasuk kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan keperluan negeri,” katanya.
Ahmad Hanir mengemukakan hujahan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Nov untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan rayuan itu.
Mengenai perintah mandamus Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, Ahmad Hanir berhujah bahawa penetapan tempoh berkenaan pada hakikatnya menyamai tindakan menulis semula Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang tempoh untuk persetujuan dicapai, sebaliknya perkara itu perlu ditentukan menerusi rundingan antara kedua-dua kerajaan.
“Mahkamah tidak boleh menentukan tempoh itu. Ia perlu ditentukan oleh kedua-dua kerajaan. Oleh itu, keseluruhan perintah mandamus itu adalah salah. Pihak-pihak mempunyai hak untuk berunding dan mencapai persetujuan,” katanya.
Ahmad Hanir menegaskan Perkara 112D(6) menyediakan mekanisme pelantikan penilai bebas bagi menyelesaikan sebarang kebuntuan, yang menurutnya diketepikan secara tidak wajar oleh Mahkamah Tinggi.
Menyentuh tempoh 48 tahun tanpa perintah semakan baharu yang diwartakan, beliau menegaskan pembayaran tahunan RM26.7 juta yang diteruskan antara 1974 hingga 2021, iaitu tempoh yang dirujuk sebagai “tahun-tahun yang hilang”, adalah sah di sisi undang-undang.
Merujuk Perkara 112D(3), Ahmad Hanir berkata Perintah Semakan 1970 kekal berkuat kuasa di sisi undang-undang sehingga digantikan dengan perintah baharu yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara yang dipertikaikan dalam kes ini ialah apa yang berlaku selepas 1973 kerana tiada perintah semakan dari 1974 hingga 2022. Pendirian kami ialah proses semakan itu terus berlangsung menerusi pertukaran surat-menyurat dan mesyuarat,” katanya.
Ahmad Hanir turut mempersoalkan locus standi Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk meneruskan tindakan itu dengan berhujah bahawa perkara berkenaan pada hakikatnya telah menjadi pertikaian secara langsung antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, peguam SLS David Fung mempertahankan locus standi pertubuhan itu untuk meneruskan litigasi berkepentingan awam berkenaan dengan menegaskan bahawa campur tangan mahkamah diperlukan memandangkan mahkamah merupakan “penjaga Perlembagaan”.
Menjawab pertanyaan Hakim Amarjeet, Fung berkata prosiding berkenaan dimulakan demi kepentingan awam dan rakyat Sabah.
Hakim Amarjeet mempersoalkan sama ada SLS, dan bukannya kerajaan Sabah yang dipilih rakyat, merupakan pihak yang sewajarnya mendapatkan remedi perlembagaan bagi pihak negeri itu.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa membenarkan prosiding sedemikian boleh membuka ruang kepada pertubuhan itu untuk mencabar keputusan atau kegagalan bertindak oleh kerajaan negeri terdahulu dalam tempoh berbeza.
Fung berkata kedua-dua kerajaan gagal melaksanakan obligasi masing-masing dan meskipun rundingan telah diadakan, tiada persetujuan dicapai.
Beliau turut mempertahankan tempoh 180 hari yang ditetapkan Mahkamah Tinggi dengan berhujah bahawa campur tangan kehakiman diperlukan selepas hampir lima dekad tanpa semakan diselesaikan.
Sementara itu, Peguam Besar Sabah Datuk Brenndon Keith Soh menjelaskan sebab kerajaan negeri tidak menggunakan mekanisme penilai bebas sepanjang tempoh yang dipertikaikan dengan berkata Perkara 112D(6) hanya boleh diguna pakai apabila rundingan menemui jalan buntu dalam proses semakan yang diadakan secara rasmi.
Soh berkata memandangkan semakan mandatori pada 1974 tidak dilaksanakan, syarat yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan bagi pelantikan penilai bebas tidak pernah timbul.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan Sabah bukan pihak yang memulakan prosiding semakan kehakiman itu, sebaliknya mencelah sebagai pihak yang terjejas secara langsung bagi mengemukakan pendiriannya berhubung isu perlembagaan berkenaan.
Hakim Amarjeet mempersoalkan tindakan kerajaan negeri bergantung pada deklarasi yang diperoleh menerusi litigasi yang dimulakan SLS dengan menyatakan bahawa Sabah mendapat manfaat secara langsung daripada dapatan Mahkamah Tinggi itu.
Soh menegaskan kerajaan negeri berhak mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan kerana kepentingan perlembagaannya terjejas secara langsung.
Beliau berkata Sabah membantah tindakan mengetepikan perintah berkaitan dan kekal dengan pendirian bahawa semakan yang diwajibkan Perlembagaan tidak dilaksanakan pada masa yang sepatutnya. — BERNAMA






























