PUTRAJAYA (Bernama): Semakan keputusan penajaan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 dibuka dari 13 Okt sehingga 5 petang 22 Okt, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan menerusi portal https://penajaan.jpa.gov.my.
Menurut JPA, sebanyak 8,054 slot penajaan pada tahun ini ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.
“Antara IPT terlibat ialah universiti awam (UA), politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih.
“Bidang pengajian yang ditaja di UA dan politeknik merangkumi Kejuruteraan dan Teknikal/Teknologi, Sains, Sains Sosial/Sastera serta Seni Bina manakala bagi institusi TVET MARA dan ILKA pula, penajaan melibatkan program diploma dalam bidang TVET,” menurut kenyataan itu.
JPA menjelaskan tumpuan penajaan meliputi bidang dengan prospek kebolehpasaran tinggi bagi menyokong usaha melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri.
“Peluang pendidikan dan latihan ini turut membuka laluan kepada pelajar untuk meningkatkan taraf kehidupan serta menyumbang kepada pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.
JPA juga memaklumkan program DB40 yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2016 bertujuan meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga, sekali gus membolehkan mereka menumpukan kepada pembelajaran termasuk pembangunan kemahiran.
Kenyataan itu turut memaklumkan pemilihan calon yang layak untuk penajaan adalah berdasarkan pencapaian akademik, latar belakang sosioekonomi serta pematuhan terhadap syarat kelayakan dan bidang pengajian yang ditetapkan.
“JPA terus komited memperluas akses pendidikan tinggi melalui penajaan yang inklusif dan bersasar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membangunkan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu. — BERNAMA


































