KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada malam 10 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Shahrudin Mat Husain berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada ibu mangsa yang berusia 23 tahun pada 11 Oktober, jam 5.48 petang.
Beliau berkata, susulan siasatan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menahan suspek di Kampung Melalin, Tuaran, pada 12 Oktober kira-kira jam 12.45 tengah malam.
“Usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kejadian itu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan komen berunsur provokasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran awam.
“Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.
































