Johari Abdul
BANGI (Bernama): Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata beliau setakat ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya untuk dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Bukan belum lagi (terima usul undi tidak percaya), tidak dengar langsung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan agar berbuat demikian secara rasmi dengan mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Johari berkata beliau juga belum menerima sebarang usul berhubung Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada tapi saya belum terima lagi kertasnya. Lazimnya, dua minggu sebelum pembentangan (sebarang usul) itu akan dimaklumkan kepada Speaker tetapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.
Mengikut Takwim Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman web Parlimen, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 37 hari bermula 5 Okt hingga 8 Dis.
Sesi itu akan bermula dengan pembentangan Rang Undang-Undang serta urusan kerajaan pada 5 hingga 8 Okt, sebelum Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Okt.
Perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat dasar dijadualkan pada 12 hingga 22 Okt diikuti dengan sesi jawapan menteri pada 26 hingga 29 Okt.
Sidang disambung dengan perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa pada 2 hingga 26 Nov dan setelah itu, pembentangan RUU dan urusan kerajaan dijadualkan pada 30 Nov hingga 8 Dis. — BERNAMA
































