NAGOYA (Bernama): Atlet karate negara Adeola Fay Robert berhasrat membawa pulang kereta elektrik Proton e.MAS yang bakal diterimanya sebagai insentif kemenangan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, untuk kegunaan keluarganya di Sabah.
Adeola, 20, yang memenangi pingat emas acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) semalam, berkata beliau amat menghargai penghargaan daripada Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), itu.
“Saya sangat bersyukur dan gembira, saya berterima kasih kepada Makaf.
“Saya merancang untuk membawa kereta itu pulang ke Sabah dan mahu keluarga saya menggunakannya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Adeola yang berasal daripada keluarga pendidik berkata bapanya merupakan guru sains, manakala ibunya mengajar matematik, sementara abang dan kakaknya turut bergelar guru.
“Saya juga sedang belajar di Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas di Cheras dan berharap dapat menjadi guru pendidikan jasmani suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, pemenang pingat emas kumite wanita bawah 50kg C. Shahmalarani, yang turut bakal menerima Proton e.MAS sebagai insentif kemenangan berkata beliau mempunyai perancangan tersendiri untuk kenderaan berkenaan, namun belum bersedia mendedahkannya.
“Terima kasih Datuk Nur Azmi Ahmad untuk e.MAS ini. Sebenarnya ada banyak perancangan besar dan saya akan kongsikan dengan semua tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Makaf Datuk Nur Azmi Ahmad ketika ditanya berkata kedua-dua kereta itu, akan diserahkan kepada dua atlet itu dalam masa terdekat.
Adeola sebelum ini menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Aichi-Nagoya, selepas menewaskan wakil Iran Fatemehzahra Saeidabadi dalam final kumite wanita bawah 55kg di Gimnasium Toyohashi. — BERNAMA
































