Dr. Joachim (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Dr. Jaswant.
KOTA KINABALU: Sokongan masyarakat, sektor korporat dan organisasi amat penting bagi memastikan perkhidmatan penjagaan paliatif dapat terus diberikan kepada golongan yang memerlukan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sokongan berterusan itu penting bagi membantu pesakit yang menghidap penyakit mengancam nyawa serta keluarga mereka, khususnya dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan yang disediakan Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK).
“Dari perspektif perubatan dan kesihatan awam, keperluan terhadap penjagaan paliatif adalah besar dan terus meningkat.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 56.8 juta penduduk di seluruh dunia memerlukan penjagaan paliatif setiap tahun, termasuk kira-kira 25.7 juta orang yang berada dalam tahun terakhir kehidupan mereka.
“Sebahagian besar keperluan penjagaan paliatif melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana, manakala permintaan terhadap perkhidmatan itu dijangka terus meningkat seiring penuaan penduduk serta peningkatan penyakit tidak berjangkit.
“Penjagaan paliatif bukanlah perkhidmatan sampingan, sebaliknya merupakan komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan berteraskan ihsan.
“Ia membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga, selain membantu mengurangkan kemasukan ke hospital yang tidak diperlukan serta tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Amal dan Konsert Tahunan Ke-27 PCAKK 2026 yang diadakan di sini, pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah turut menzahirkan penghargaan kepada program penjagaan paliatif di rumah yang diselaraskan PCAKK kerana membolehkan pesakit menerima penjagaan dan keselesaan serta menjalani kehidupan dengan bermaruah dalam persekitaran rumah sendiri, selain memberi sokongan kepada ahli keluarga.
“Walaupun pada satu tahap rawatan untuk menyembuhkan mungkin tidak lagi dapat dilakukan, penjagaan, keselesaan, maruah dan sifat belas ihsan perlu sentiasa diberikan,” katanya.
Sehubungan itu, Joachim menggalakkan individu, syarikat korporat dan organisasi terus memberi sumbangan bagi membolehkan perkhidmatan PCAKK dikekalkan serta diperluaskan kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PCAKK, Dr. Jaswant Singh, barisan jawatankuasa, doktor, jururawat, kakitangan, sukarelawan, penderma serta penyokong persatuan atas dedikasi dan khidmat mereka dalam membantu pesakit serta keluarga yang memerlukan penjagaan paliatif.
Hadir sama, Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis serta Ketua Pegawai Eksekutif Golden Plantation Sdn Bhd, Datuk Yeo Hock Ching.
































