MIYAGI (Jepun) (Bernama-Kyodo): Seekor beruang naik ke sebuah bot menangkap tuna yang berlabuh di Shiogama, wilayah Miyagi dan dipercayai tertidur di atas bot sebelum terjatuh ke laut, menurut polis tempatan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Tiga anak kapal yang berada di atas bot berlindung di dalam sebuah bilik berkunci dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut polis, beruang setinggi kira-kira satu meter itu naik ke atas bot berkenaan di pelabuhan perikanan kira-kira 8.30 malam.
Beruang itu dipercayai tertidur di bahagian haluan bot dan tidak lagi kelihatan selepas terjatuh ke laut selepas 1 pagi, menurut polis yang memetik keterangan anak kapal.
Polis berkata beberapa laporan mengenai penampakan beruang di kawasan itu diterima sejak Jumaat.
Dalam kejadian berasingan di Iwanuma, Miyagi, sebuah kereta api melanggar seekor beruang lewat Sabtu, menyebabkan perkhidmatan tergendala sementara dan kira-kira 30 penumpang di Laluan Joban mengalami kelewatan, menurut JR East. Tiada anak kapal atau penumpang cedera.
Beruang itu tersepit di bawah kereta api, menyebabkan perkhidmatan hanya dapat disambung semula hampir dua jam kemudian selepas bangkainya dikeluarkan.
Dua perkhidmatan kereta api bagi setiap arah mengalami kelewatan, menjejaskan kira-kira 490 penumpang. — BERNAMA-KYODO
































