Azman (duduk, enam dari kiri) dan penganjur bergambar bersama peserta Kursus Sulaman Manik (Key Chain dan Anting-Anting).
KENINGAU: Kursus kemahiran seperti sulaman manik perlu terus diperkasa kerana bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran kaum ibu dan beliawanis, malah membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan menerusi penghasilan produk kraftangan.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan berkata, usaha memperkasa kemahiran masyarakat penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau berkata, kemahiran yang diperoleh menerusi kursus berkenaan juga berpotensi dikembangkan kepada aktiviti keusahawanan dengan menghasilkan produk tempatan yang mempunyai nilai komersial.
“Lebih penting, produk yang dihasilkan bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi boleh dikembangkan sebagai produk tempatan yang mempunyai nilai tambah dan diketengahkan kepada pengunjung,” katanya ketika merasmikan Kursus Sulaman Manik (Key Chain dan Anting-Anting) anjuran Koperasi Usahawan Niaga Keningau Bhd (KOSWANI) di Dewan Serbaguna Kampung Sandapak, di sini.
Seramai 35 peserta terdiri daripada kaum ibu dan beliawanis menyertai kursus sehari itu bagi mempelajari kemahiran baharu dalam menghasilkan produk kraftangan.
Azman berkata, usaha seperti itu juga berpotensi membantu masyarakat meneroka sumber pendapatan tambahan, selain menggalakkan penghasilan produk berasaskan kreativiti dan kemahiran tempatan.
Menurutnya, produk kraftangan yang dihasilkan masyarakat setempat berpotensi diketengahkan sebagai antara tarikan pelancongan di daerah Keningau, sekali gus memberi ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan hasil kreativiti mereka kepada pasaran yang lebih luas.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara koperasi, komuniti dan pihak berkaitan dalam menyediakan lebih banyak program pembangunan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
“Usaha memperkasa kemahiran masyarakat perlu diteruskan supaya lebih ramai dapat memanfaatkan peluang ekonomi yang ada dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan keluarga serta komuniti,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi KOSWANI, Sharifah Bidin dan Pengerusi JKKK Kampung Sandapak, Nicol Mikat.
































