Masiung Banah
KOTA KINABALU: Peningkatan aktiviti ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan China di perairan Laut Cina Selatan dilihat memerlukan perhatian serius daripada pelbagai pihak, termasuk Sabah yang berdekatan dengan kawasan terbabit.
Pengerusi Kelab Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, aktiviti dua kuasa besar itu wajar dipantau dengan teliti bagi memastikan ia tidak menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau mencadangkan agar Wisma Putra memainkan peranan proaktif dalam mengadakan rundingan diplomatik dengan pihak AS, China dan Filipina bagi mengekalkan kestabilan di perairan Laut Cina Selatan serta menjamin keselamatan laluan perdagangan serantau.
ADUN Kuamut itu juga menyatakan kebimbangannya terhadap pembangunan kemudahan dan aset ketenteraan berskala besar oleh Kerajaan Filipina bersama AS di Pulau Balabac, selatan Filipina, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Sabah.
“Memandangkan jaraknya yang dekat dengan Sabah, adalah wajar bagi Kerajaan Malaysia menilai implikasi keselamatan terhadap rakyat, terutamanya di kawasan pantai utara Sabah.
“Kehadiran tentera AS di Pulau Balabac perlulah dilihat secara rasional, namun kita juga tidak boleh mengabaikan fakta bahawa Filipina masih mempunyai tuntutan ke atas Sabah. Justeru, pendekatan diplomatik yang bijaksana amat diperlukan,” ujarnya.
Menurut Masiung, aktiviti ketenteraan AS dan China di sekitar Borneo menunjukkan peningkatan, dengan kedua-dua pihak terus memperkukuhkan kehadiran tentera dan aset pertahanan masing-masing.
Beliau juga berpendapat bahawa walaupun situasi di pantai utara Sabah memerlukan perhatian, namun sebarang kemungkinan konflik masih boleh dikawal melalui saluran diplomatik yang sedia ada.
Masiung menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina setakat ini berada pada tahap yang baik, dan usaha kerjasama serantau harus diteruskan bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh membawa kepada ketegangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga telah menyuarakan pandangan yang sama mengenai kepentingan memantau perkembangan ketenteraan AS di Pulau Balabac serta isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Perkembangan di perairan Laut Cina Selatan terus mendapat perhatian negara-negara serantau, namun pihak berkaitan berharap agar semua pihak dapat mengutamakan perbincangan dan diplomasi bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.






























