KOTA KINABALU: Dua lelaki pekerja syarikat bas telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular di media sosial, selepas video kejadian itu tersebar luas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, kedua-dua lelaki berusia 38 dan 37 tahun itu ditahan pada 6 September jam 2.30 petang, susulan satu laporan polis yang diterima pada 5 September lalu.
Kejadian pergaduhan dipercayai berlaku di Terminal Bas Inanam, Kota Kinabalu, kira-kira jam 11.54 pagi, berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang bas.
“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang bas,” kata ACP Shahrudin dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua lelaki itu bertumbuk menggunakan tangan tanpa melibatkan sebarang senjata, dan pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran yang sewajarnya. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” tegasnya.






























