Zainudin Aman
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri, selain PKOB di peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar, susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang menghampiri paras 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, hari ini.
“Pelan tindakan mengikut kawasan adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.
Sehingga jam 5 petang kelmarin (1 Sept), bacaan IPU di Kota Kinabalu ialah 177, Tawau (153), Keningau (165), Kimanis, Papar (166) dan Politeknik Kota Kinabalu (153). Kesemuanya diklasifikasikan sebagai “Tidak Sihat”.
Zainudin berkata, Ketua Menteri turut dimaklumkan bahawa peningkatan bacaan IPU dipengaruhi pergerakan angin ke arah Sabah dan dijangka terus meningkat secara beransur-ansur selagi tiada hujan di Kalimantan.
Katanya, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu semuanya dikategorikan di bawah Tahap Amaran 1A.
“Bagi Tahap Amaran 1A, antara langkah yang ditetapkan ialah menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memaklumkan kepada orang awam mengenai bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiat pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.
Zainudin berkata, kecemasan atau bencana jerebu akan diisytiharkan apabila bacaan IPU mencapai 500 dan ke atas.
Beliau mencadangkan supaya aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
Zainudin berkata, Kerajaan Negeri juga akan mencadangkan supaya sekolah di kawasan yang bacaan IPU mencapai atau melebihi 200 ditutup dan pembelajaran dilaksanakan dari rumah.
“Dicadangkan supaya solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai sebahagian daripada usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan.
“Pada masa yang sama, rumah ibadat agama lain juga digalakkan mengadakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.


































