KOTA MARUDU: Pengaruh media sosial menjadi antara cabaran dalam usaha memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan murid pada masa kini.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Sabariah Mohd Yaakub berkata, usaha memupuk perpaduan dalam kalangan murid memerlukan berterusan bagi memastikan keharmonian serta semangat bersatu padu terus dipelihara.
“Cabaran yang kita hadapi sekarang ini adalah, kepelbagaian latar belakang murid, bangsa dan suku kaum.
“Kadang-kadang kita agak susah untuk menyatupadukan, tetapi Alhamdulillah di peringkat SK Simpangan tiada masalah kerana sudah terbiasa dengan hidup dalam kepelbagaian.
“Cabaran dalam media sosial yang banyak mempengaruhi murid apabila mereka melihat perkara yang mungkin tidak sepatutnya mengenai perpaduan. Namun, apabila mereka bertanya di sekolah, kita boleh terangkan kepada murid-murid,” katanya ketika ditemui media selepas persinggahan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di sekolah berkenaan, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, kehadiran konvoi KMJG ke sekolah berkenaan memberi pengalaman positif kepada murid, selain membuka ruang kepada mereka untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat Malaysia.
“Diharap para murid dengan adanya konvoi ini sedikit sebanyak terbuka hati mereka terhadap pelbagai budaya dan kita perlu bersatu padu untuk terus menjaga kesejahteraan negara kita Malaysia.
“Biarpun susah atau senang, miskin atau kaya, bangsa tidak kisah kerana apa pun bangsa kita, kita kena bersatu.
“Keharmonian yang wujud dalam kalangan murid SK Simpangan membuktikan kepelbagaian mampu menjadi kekuatan sekiranya disemai dengan nilai saling menghormati dan bekerjasama,” ujarnya.
Terdahulu, program berkenaan turut diserikan dengan persembahan pentomin bertemakan kemerdekaan selain sesi perkongsian maklumat bersama Pegawai Laksana KM Banggi, LT KDR (M) Musli Jaffar dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenai peranan agensi berkenaan dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor serta peserta konvoi KMJG.


































