Masiung disambut orang ramai setibanya di Dewan Kampung Rapak, Ranau.
RANAU: Satu Jawatankuasa Pemandu Teknikal Daerah (JPTD) dibentuk di Tongod bagi mengawalselia dan menilai semua projek infrastruktur serta utiliti di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jawatankuasa khas itu dibentuk susulan terdapat segelintir projek Kerajaan di daerah berkenaan yang gagal disiapkan selain tidak memenuhi spesifikasi kerja.
Beliau berkata, JPTD akan dipengerusikannya sendiri dengan Pegawai Daerah, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. sebagai anggota tetap.
“Saya sendiri mempengerusikan jawatankuasa ini. Sementara Pegawai Daerah, Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah, Jabatan Air dan Sabah Electricity menjadi anggota tetap.
“Pasukan ini akan memantau serta menilai aspek teknikal sambil memastikan perkhidmatan serta reka bentuk kerja setiap projek memenuhi standard,” tegasnya.
Masiung berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 300 warga Tongod yang menetap di Ranau ketika merasmikan majlis kesyukuran kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) November tahun lalu.
Majlis itu diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Rapak, di sini, semalam.
Masiung berkata, jabatan dan agensi kerajaan lain akan dijemput menganggotai jawatankuasa khas itu mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, fokus utama JPTD ketika ini adalah pembinaan semula Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terbengkalai susulan kegagalan pemaju menyiapkan pusat sukan daerah berkenaan.
“Status terkini pembinaan semula Kompleks Sukan daerah itu sudah ditawarkan kepada kontraktor baharu dan kerja-kerja akan disambung bermula awal September ini,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Sedco itu berkata, kontraktor baharu yang dilantik diberikan tempoh lapan bulan untuk menyiapkan struktur pusat sukan berkenaan.
Selain projek infrastruktur di bawah RMK13, katanya, turut menjadi tumpuan JPTD ialah pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi serta kilang pemprosesan kinzir di Kampung Entilibon.
Sementara itu, Masiung berkata, JPTD turut akan memainkan peranan dalam satu lagi projek mega berimpak tinggi yang bakal mengubah landskap pembangunan di Tongod, iaitu pembangunan Bandar Baharu Milenium di bawah RMK-13.
Bandar Milenium seluas 1,000 ekar itu dijangka dibangunkan sebuah syarikat swasta bagi merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan di daerah pedalaman berkenaan.


































