KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) mengesahkan seorang pekerja kontraktor meninggal dunia manakala seorang lagi cedera dalam insiden ketika kerja penukaran tiang elektrik berhampiran simpang lampu isyarat menuju ke Taman Mawar di Sandakan pada 22 Ogos.
Dalam kenyataan hari ini, Sabah Electricity berkata, pekerja yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta simpati kepada pekerja yang cedera,” menurut kenyataan itu.
Sabah Electricity berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Semua kerja berkaitan di lokasi kejadian turut dihentikan sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.
Sabah Electricity memandang serius kejadian berkenaan dan kekal komited memastikan aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak yang terlibat, termasuk kontraktor, dalam setiap aktiviti kerja dan operasi.


































