TUARAN: Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat satu hantaran media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan serta bahan visual mengelirukan berkaitan Sabah, yang disifatkan berpotensi menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara jika tidak ditangani segera.
Pengerusinya yang juga Pengasas TigaSatuTiga Channel, Keyafatullah Malik Aman membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran malam tadi selepas mengesan satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama “Sultan Muedzul-Lail Tan Kiram”, dipercayai milik individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan waris Kesultanan Sulu.
Menurut laporan itu, hantaran berkenaan mengandungi beberapa dakwaan mengenai operasi penahanan dan penghantaran pulang warga Filipina di Sabah, selain mendakwa berlaku kematian dalam pusat tahanan akibat kesesakan serta mengaitkan komuniti Tausug dengan hak sejarah terhadap Sabah.
Turut dipersoalkan ialah penggunaan sekeping gambar yang diberikan kapsyen “Tausug inside the detention cell in Sabah.”
Bagaimanapun, berdasarkan semakan awal yang dilakukan pengadu melalui sumber terbuka, gambar tersebut disyaki bukan dirakam di mana-mana pusat tahanan di Sabah, sebaliknya merupakan gambar lama dari Penjara Quezon City, Manila yang digunakan di luar konteks.
Beliau berkata, perkara itu perlu disiasat bagi menentukan kesahihan dakwaan dan asal-usul gambar berkenaan.
“Ini bukan sekadar perbezaan pandangan di media sosial. Apabila sesuatu kandungan membawa dakwaan yang belum dipastikan kesahihannya, disertakan dengan gambar yang didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar dan dikaitkan dengan naratif sejarah Sabah, ia berpotensi membentuk persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Keyafatullah berkata, walaupun siasatan lanjut perlu dijalankan oleh pihak berkuasa, penyebaran kandungan sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh isu sensitif berkaitan Sabah.
Katanya, kandungan yang tular tanpa pengesahan mampu mempengaruhi sentimen masyarakat, menghakis keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan serta membuka ruang kepada pihak tertentu mengeksploitasi isu berkenaan bagi kepentingan tertentu.
Menurut beliau, Sabah bukan asing daripada ancaman keselamatan yang mempunyai kaitan dengan tuntutan Kesultanan Sulu, justeru setiap naratif yang menyentuh kedaulatan negeri itu perlu dinilai secara serius dan berasaskan fakta.
Beliau menegaskan laporan polis tersebut bukan bertujuan membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan, penggunaan gambar, sumber penyebaran kandungan serta mengenal pasti sama ada wujud unsur penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Beliau turut berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan meneliti perkara itu mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Kita tidak boleh menunggu sehingga sesuatu naratif berkembang menjadi konflik yang lebih besar. Jika terdapat unsur penyebaran maklumat yang mengelirukan atau cubaan mempengaruhi persepsi awam terhadap Sabah dan Malaysia, tindakan perlu diambil lebih awal. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada berdepan implikasi yang sukar dikawal pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah berkongsi kandungan yang belum disahkan kesahihannya, khususnya yang melibatkan isu keselamatan, hubungan diplomatik dan kedaulatan negara.
Dalam pada itu, beliau berharap siasatan yang dijalankan dapat memberikan penjelasan menyeluruh kepada masyarakat serta memastikan sebarang tindakan diambil berdasarkan fakta dan bukti yang sah di sisi undang-undang.































