Hajiji, Armizan dan rombongan mendengar taklimat daripada Chee (tiga dari kanan) mengenai kemajuan projek Loji Rawatan Air Kogopon dan Pengambilan Air Kabang.
PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan Loji Muka Sauk Kabang dijangka mula beroperasi masing-masing pada November dan Ogos tahun ini, sekali gus meningkatkan bekalan air di Papar, Putatan dan Kimanis.
Kedua-dua projek itu dijangka membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang sekian lama dihadapi di tiga kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah memantau rapat pelaksanaan kedua-dua projek itu serta memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi.
“Jadilah lebih proaktif dalam menangani isu kekurangan bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di sini tetapi di seluruh negeri.
“Masalah bekalan air adalah isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan air terawat menjelang akhir November.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.
Walaupun keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, Chee berkata loji itu akan mula membekalkan air sebelum akhir tahun ini bagi memenuhi permintaan di Papar, Putatan sehingga Kimanis.
Mengenai projek Loji Muka Sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, Hajiji dimaklumkan bahawa pembinaannya kini mencapai 90 peratus dan dijangka ditauliahkan pada September tahun ini.
Kemudahan muka sauk air baharu itu, yang dibina lebih jauh ke hulu Sungai Papar di Kabang, akan meningkatkan kapasiti pengambilan air mentah daripada sembilan MLD kepada 30 MLD.
Lokasinya dipindahkan ke kawasan hulu bagi mengatasi masalah kemasinan yang kerap menjejaskan Loji Rawatan Air di bawah Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan muka sauk sedia ada di Limbahau.
































