Safar (tiga dari kanan), diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Nuinda Alias, memotong kek persaraan sambil disaksikan Hajiji (dua dari kiri) dan Zainudin (kiri). Turut kelihatan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag (dua dari kanan) dan isteri Zainudin, Datin Siti Yuslaini Md. Samsuri (kanan).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mencadangkan agar Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah mempertimbangkan penubuhan sebuah Galeria atau Mini Muzium Penjawat Awam yang memberi tumpuan kepada institusi Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).
Beliau berkata, galeria itu boleh mempamerkan dokumen penting, teks ucapan, gambar, memorabilia serta rekod pencapaian dan kejayaan setiap mantan SKN mengikut era kepimpinan masing-masing.
“Sudah pasti galeria ini boleh menjadi pusat rujukan bagi pembangunan sektor perkhidmatan awam, di samping berfungsi sebagai pusat sumber untuk pelajar dari peringkat menengah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi Tautan Legasi sempena persaraan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi.
Hajiji berkata, jawatan SKN merupakan jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri dan sejak Sabah mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu, negeri ini hanya mempunyai 11 orang penyandang jawatan itu.
Mereka ialah Robert Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Datu Khalil Jamalul, Datuk K.Y. Mustafa, Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Seri Hashim Paijan, Safar dan penyandang terkini, Datuk Zainudin Aman.
“Setiap mantan SKN mempunyai kelebihan, kejayaan dan legasi tersendiri. Pada malam ini kita meraikan legasi yang ditinggalkan oleh SKN ke-10, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong, selepas beliau menggalas amanah selama enam tahun, tujuh bulan dan 24 hari bersama pimpinan negeri serta warga perkhidmatan awam,” katanya.
Menurut Hajiji, sepanjang menerajui perkhidmatan awam negeri, Safar bukan sahaja berjaya meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah memacu perubahan positif selaras dengan perkembangan teknologi maklumat.
Katanya, antara sumbangan penting Safar ialah memperkenalkan inisiatif Smart Digital Government atau Kerajaan Pintar Digital bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Usaha ini bukan sahaja wajar diteruskan, malah perlu diperkasakan dan dinaik taraf dari semasa ke semasa agar selari dengan kehendak serta keperluan semasa,” katanya.
Hajiji berkata, berbekalkan pengalaman luas dalam pentadbiran, pengurusan dan pembangunan tanah, Safar kini diberi tanggungjawab baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn. Bhd. (TAED).
“Saya percaya syarikat milik kerajaan negeri itu akan mendapat manfaat besar daripada kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Safar,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Safar atas jasa, bakti serta sumbangan besarnya kepada perkhidmatan awam negeri sepanjang memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.


































