Ruddy Awah
KOTA KINABALU: Sebanyak 13 kes kecurian kabel voltan sederhana direkodkan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai sepanjang tahun lalu, manakala lima kes lagi dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pembantu Menteri kepada Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Dato’ Sri Ruddy Awah berkata, berdasarkan rekod Sabah Electricity, kes-kes berkenaan melibatkan kabel voltan sederhana 11kV dan 33kV yang menjejaskan operasi serta kebolehpercayaan bekalan elektrik.
“Pada tahun 2025, sebanyak 13 kes direkodkan, iaitu tujuh kes di kawasan Kota Kinabalu dan enam kes di kawasan Karambunai.
“Bagi tahun 2026 sehingga Jun, sebanyak lima kes direkodkan, melibatkan satu kes di kawasan Kota Kinabalu dan empat kes di kawasan Karambunai,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Ruddy berkata, Sabah Electricity Sdn. Bhd. memandang serius isu kecurian kabel kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna.
Menurutnya, pelbagai langkah pencegahan telah diperkukuhkan termasuk rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, selain operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan.
“Bagi kawasan DUN Karambunai, dari Januari hingga Jun 2026, sebanyak 35 operasi rondaan dan pemantauan telah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan kejadian kecurian kabel serta meningkatkan kehadiran penguatkuasaan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, Sabah Electricity turut mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi mempercepatkan tindakan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan.
“Kerajaan melalui Sabah Electricity akan terus memperkukuhkan usaha-usaha pencegahan, meningkatkan rondaan di kawasan hotspot serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan aset utiliti dan kesinambungan bekalan elektrik kepada rakyat Sabah,” katanya.
































