LABUAN: Sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 18 Julai lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkembangan itu menunjukkan pelaksanaan SKDS di Sabah, Sarawak dan Labuan terus mencatat kemajuan yang memberangsangkan sejak pendaftaran dibuka pada 4 Mei 2026.
Beliau berkata, bagi kategori Pengangkutan Darat (Awam), sebanyak 2,116 syarikat melibatkan 3,433 kenderaan telah berdaftar, manakala sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna) merekodkan 18,770 syarikat dengan 51,679 kenderaan.
“Bagi sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), sebanyak 7,241 syarikat melibatkan 13,557 kenderaan telah berdaftar.
“Jumlah keseluruhan pendaftaran bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ialah 28,127 syarikat dengan 68,669 kenderaan,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di sini, hari ini.
Armizan berkata, majlis tersebut melibatkan syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS dan menerima fleet card daripada syarikat minyak PETRONAS, Shell dan Petron.
Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula pada 10 Jun 2024 sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi kenderaan perdagangan menerusi pelaksanaan SKDS, manakala program subsidi lain seperti BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dilaksanakan oleh kementerian peneraju masing-masing.
Di peringkat nasional, Armizan berkata, sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS setakat 18 Julai 2026.
Beliau merakamkan penghargaan kepada PETRONAS, Shell dan Petron atas kerjasama dalam memastikan proses pengeluaran fleet card kepada syarikat yang layak berjalan lancar.
“Pelaksanaan mekanisme fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi.
Armizan berkata, KPDN kini mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) serta meneliti beberapa cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SKDS berdasarkan pengalaman pelaksanaan, maklum balas pemain industri dan isu operasi yang dikenal pasti.
Pada masa sama, katanya, KPDN akan meneruskan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan SKDS di ketiga-tiga wilayah.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan dasar mengambil kira keperluan operasi di lapangan tanpa menjejaskan objektif utama penyasaran subsidi serta pengurusan ketirisan.
“KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan MOF, kerajaan-kerajaan negeri, syarikat-syarikat minyak serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan SKDS terus diperkukuh dari semasa ke semasa,” katanya.


































