Masidi bergambar bersama kakitangan hospital.
KOTA KINABALU: Kejayaan pasukan perubatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) melaksanakan pembedahan pemisahan bayi kembar siam membuktikan Sabah mempunyai kepakaran perubatan bertaraf tinggi yang mampu mengendalikan prosedur kompleks dan berisiko tinggi.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kejayaan bersejarah itu turut membuktikan bakat serta kemampuan tenaga perubatan tempatan apabila diberikan peluang untuk melaksanakan prosedur yang sebelum ini dianggap amat sukar.
“Rakyat Sabah amat berbangga dengan kejayaan ini kerana ia membuktikan kita mempunyai bakat dan kepakaran di negeri sendiri. Apabila diberikan peluang, anak-anak Sabah mampu melaksanakan pembedahan yang sebelum ini dianggap amat sukar,” katanya pada majlis penghargaan dan makan malam sempena kejayaan pembedahan pemisahan kembar siam oleh pasukan perubatan HWKKS di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, Masidi menyantuni pasukan perubatan HWKKS sebagai tanda penghargaan atas kejayaan melaksanakan pembedahan yang mencatat sejarah dalam bidang perubatan negeri.
Beliau berkata, pasukan perubatan yang diketuai Ketua Jabatan Pembedahan Pediatrik HWKKS, D. Hazlina Mohd Khalid telah membuktikan keupayaan Sabah dalam menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan doktor, jururawat dan kakitangan HWKKS yang terlibat dalam menjayakan pembedahan bersejarah tersebut.
Masidi berkata, kejayaan pembedahan yang dilaksanakan pada 2 Julai lalu bukan sahaja mendapat pujian daripada masyarakat di Sabah, malah menjadi kebanggaan pelbagai pihak di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau berharap pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kepakaran, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta terus mengangkat kecemerlangan sektor perubatan di Sabah.


































