Hajiji mengiringi Tun (Dr.) Musa pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448/2026 hari ini.
KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diseru agar menghayati semangat hijrah dengan bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri, meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan akhlak serta mempererat hubungan sesama insan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu, beliau berharap sambutan Maal Hijrah dapat menjadi wadah yang mengeratkan jalinan ukhuwah sekali gus memacu iltizam dan tekad baharu untuk memperkukuhkan kesatuan serta perpaduan ummah.
“Sambutan Maal Hijrah yang menjadi amalan kita setiap tahun bukan sekadar memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi juga menjadi simbol transformasi, pengorbanan dan pembaharuan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Hajiji mengiringi Tun Musa Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M kategori lelaki kepada Datuk Ag. Sharin Alimin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M hari ini.
“Sebagai umat Islam, kita perlu mengambil ibrah daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW, iaitu kejayaan baginda mengembangkan syiar Islam dan pada masa yang sama menubuhkan Kerajaan Islam yang pertama di kota Madinah.
“Baginda menitikberatkan kepimpinan yang seimbang antara kemajuan material dengan pembangunan insan,” katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026M/1448H di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.
Sejajar dengan tema Maal Hijrah tahun ini, “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, Hajiji berkata, tema tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan mengajak rakyat hidup bersatu padu serta saling hormat-menghormati.
“Konsep ummah Madani lahir daripada ikhtiar untuk meneladani kejayaan Rasulullah SAW menyatupadukan kaum Ansar dan Muhajirin, hidup dalam kesatuan serta membangun dengan cemerlang berteraskan persaudaraan Islam.
“Saya percaya dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai inspirasi moral dan etika dalam kehidupan bernegara, kita mampu menjadi contoh masyarakat Madani yang lahir daripada peradaban yang berilmu, berintegriti dan berjiwa besar,” katanya.

Hajiji mengiringi Tun Musa Aman menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M kategori wanita kepada Datuk Masnah Matsalleh pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M hari ini.
Beliau turut berharap tahun baharu 1448H membawa harapan dan keberkatan kepada umat Islam walaupun dunia ketika ini berdepan pelbagai cabaran dan pergolakan.
“Krisis di Timur Tengah, misalnya, yang melibatkan kuasa-kuasa besar amat menggusarkan kita. Lebih menyedihkan, peperangan yang berlaku itu melibatkan saudara seagama dengan kita.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berharap perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang bakal dimeterai pada hari Jumaat ini akan menghentikan pergolakan serta peperangan di rantau berkenaan demi keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” katanya.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Hajah Faridah Tussin; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Mohd. Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah.






























