Dr. Joachim enyampaikan sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang kepada penduduk.
RANAU: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk terus menjadi asas kekuatan negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa rakyat Sabah harus terus hidup dalam suasana saling menghormati dan bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.
Menurut beliau, masyarakat di negeri ini sudah lama terbiasa dengan kepelbagaian budaya dan agama, malah hubungan kekeluargaan yang merentasi kepercayaan merupakan satu keunikan Sabah.
“Apabila tiba Krismas kita akan menjemput mereka, dan apabila Hari Raya pula mereka akan menjemput kita. Amalkanlah kebiasaan ini kerana agama tidak sepatutnya memecah-belahkan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Silaturrahim Hari Raya Aidilfitri Bersama Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam di Mini Dewan Timbua, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik beliau, Datuk Arthur Sen, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sany.
Dr. Joachim berkata, majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturrahim, malah memberi peluang kepada beliau untuk bertemu dan mendengar sendiri pandangan rakyat selepas pilihan raya lalu.
“Saya sedar tugasan dalam portfolio kementerian baharu ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya akan berusaha memberikan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyeru para pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima watikah pelantikan agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta sentiasa peka terhadap peranan dan kepentingan mereka sebagai pemimpin masyarakat.
Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Perjalanan hidup anda masih panjang. Teruskan usaha dan perjuangan,” katanya.
Tambahnya, majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memupuk perpaduan, menghargai kecemerlangan pendidikan dan memperkukuh kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Fadzil Anthony merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang hadir memeriahkan sambutan tersebut serta memuji semangat gotong-royong yang ditunjukkan dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Dr. Joachim atas keprihatinan beliau terhadap rakyat di kawasan Timbua.
Dalam program itu, Dr. Joachim turut menyampaikan sumbangan kepada 11 orang anak yatim berumur 12 tahun ke bawah, hadiah penghargaan kepada 10 pelajar cemerlang SPM 2025 dari SMK Timbua, watikah pelantikan kepada 11 Pengerusi JKKK Mukim Timbua dan Pinawantai, serta sumbangan sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang kepada penduduk yang hadir.


































