Jafry diberi taklimat oleh arkitek mengenai reka bentuk Rumah Tengkorak yang bakal menjadi ikon dan tarikan utama di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom.
TENOM: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar terus komited memperkasa pelancongan berasaskan warisan melalui pelaksanaan Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin hari ini berkata, projek ini merupakan satu inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti budaya masyarakat Murut, di samping meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri secara mampan.
“Pendekatan pembangunan projek ini berteraskan prinsip keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif, bagi memastikan pengunjung bukan sahaja melihat, tetapi benar-benar menghayati warisan budaya masyarakat Murut,” katanya.
Menurut beliau, antara komponen utama projek ini adalah pembinaan Rumah Tengkorak yang bakal menjadi bangunan ikonik dan tarikan utama di kawasan tersebut. Bangunan ini akan berfungsi sebagai pusat interpretasi budaya yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal-usul masyarakat Murut kepada pengunjung.

“Reka bentuk Rumah Tengkorak ini diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan, dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui satu perjalanan penceritaan budaya yang tersusun dan bermakna,” jelas beliau.
Selain itu, projek ini turut merangkumi pembangunan 10 unit pondok kuburan yang mewakili pelbagai sub-etnik Murut seperti Murut Tagol, Timugon, Tangara dan lain-lain. Setiap struktur direka dengan identiti seni bina tersendiri bagi mencerminkan keunikan dan asal-usul setiap sub-etnik.
Tambah beliau, pembangunan ini bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah sebagai platform pendidikan dan pemahaman sejarah yang mampu memperkukuh identiti budaya tempatan serta memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan dan program interpretasi budaya.
Projek yang bermula pada 6 Mei 2025 ini dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei 2026 dengan kos kontrak berjumlah RM825,559.60.
“Jafry yakin projek ini akan menjadi satu lagi ikon pelancongan budaya yang signifikan di Sabah, khususnya di Tenom, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan warisan yang bertaraf dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap aspek pembangunan projek ini dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti budaya serta mematuhi prinsip pemuliharaan warisan bagi memastikan kelestarian jangka panjang.






























