Jamawi menaiki taktor membajak sawah padi.
TELUPID: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menghadiri sesi libat urus bagi memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan serta saliran di Skim Pengairan Trusan Sapi, di sini, hari ini.
Dalam sesi itu, beliau mengadakan pertemuan bersama para petani, pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Ketua Pengarah Bahagian Pertanian, Datuk Zul Hadi Awang.
Hasil sesi libat urus berkenaan, Jamawi menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang 2030.

Jamawi (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan warga kerja LPBS serta yang lain.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, fokus utama ketika ini adalah menaik taraf sistem pengairan serta memulihkan sawah terbiar, termasuk di kawasan Trusan Sapi.
“Jika kita dapat membangunkan sawah padi terbiar seluas kira-kira 4,000 hektar, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan SSL sebanyak 20 peratus. Ini bermakna menjelang 2030, SSL boleh mencecah sekitar 40 peratus,” katanya ketika ditemui media.
Menurutnya, pembangunan kira-kira 3,000 hektar di Trusan Sapi sahaja mampu menyumbang peningkatan SSL sebanyak 10 peratus sekiranya sistem pengairan dipertingkatkan.
Selain aspek infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan mekanisasi pertanian serta penambahan kapasiti kilang padi bagi menyokong peningkatan pengeluaran pada masa hadapan.

Jamawi memasukkan benih padi ke drone sambil disaksikan oleh Jumain (kanan) dan yang lain.
Sehari sebelum sesi berkenaan, Jamawi turut mengadakan lawatan tinjauan ke Ladang Unggas Bantayan, Tamparuli milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Lawatan itu bertujuan melihat pelbagai ternakan termasuk ayam penelur, ayam kampung kacukan, ayam mutiara, burung puyuh, ayam turki dan unggas lain bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam program jelajah Kebun Dapur.
Beliau turut melawat Ladang FarmBay di Tuaran yang menternak itik dan burung puyuh penelur milik Jessie Ambukon.
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Setiausaha Tetap I, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengurus Besar Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Ir. Haji Siraja Hj. Bashora; Pengarah Pertanian Sabah, Datuk Jifrin Hj Mohamad; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr. Ramle Haji Kasin; Pengerusi dan Timbalan Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jailis Masarip dan Andree Funk.
































