Hajiji menyaksikan pertukaran dokumen antara Ghulamhaidar (tiga dari kiri) dan Dr. Mohamed Ezani (dua dari kanan).
KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki Hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat pelaburannya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dengan IJN hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis menandatangani MoU bagi penubuhan hospital tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, penubuhan hospital jantung pertama di Sabah ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
Di bawah kerjasama strategik ini, sebuah hospital khusus bagi rawatan penyakit kardiovaskular akan dibina di tapak seluas 10 ekar di Likas.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya berkata, dengan penubuhan hospital jantung bertaraf tinggi di sini, pesakit tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di luar negeri, sekaligus dapat mengurangkan kos perjalanan dan mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.
“Inisiatif ini juga akan membantu menyokong sistem penjagaan kesihatan sedia ada di Sabah, termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, yang pada masa ini mempunyai kapasiti terhad berbanding keperluan sebenar rakyat,” katanya.
Menurut Jasnih, kerjasama strategik ini akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah bukan sahaja dari segi akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik, tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.

Pengerusi IJN, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit jantung kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia dan trend ini menekankan keperluan yang semakin meningkat untuk sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu.
Oleh itu, akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan supaya boleh dinikmati secara lebih meluas tanpa mengira lokasi geografi, katanya.
Pada masa sama, Dr. Noor Hisham berkata, pembukaan Hospital IJN di Sabah juga akan membuka pasaran baru dalam pelancongan kesihatan, menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia pada harga mampu milik.
Majlis menandatangani MoU bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah disaksikan oleh Pengarah, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Jasnih, manakala IJN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof. Dato Sri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya.
Dalam majlis sama, satu lagi MoU turut dimeterai antara Yayasan Kolej Universiti Sabah (UCSF) dan Kolej Universiti IJN, yang dijangka membuka peluang bagi pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional dalam sektor penjagaan kesihatan pada masa depan.
UCSF diwakili oleh Naib Canselornya , Datuk Dr. Rafiq Idris dan Pendaftar Norashikin Ahmad, manakala Naib Canselor Prof. Emerita Dr. Durrishah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Dato Akmal Arief Fauzi menandatangani bagi pihak Kolej Universiti IJN.


































